Pentadbiran Roosevelt Dasar_Jiran_Baik

Dasar

Pada 3 Mac 1933, Roosevelt berkata dalam ucapan pertamanya bahawa: "Dalam bidang dasar antarabangsa, saya akan membaktikan bangsa ini (Amerika Syarikat) kepada dasar jirang baik, iaitu jiran yang menghormati diri sendiri dengan tegas, dan oleh sebab itu, menghormati hak-hak jiran lain, iaitu jiran yang menghormati kewajipannya serta menghormati kesucian perjanjiannya di dalam dan dengan sedunia jiran tetangga."[4] Pendirian ini ditegaskan oleh Cordell Hull, Setiausaha Negara Roosevelt di persidangan negara-negara Amerika di Montevideo pada Disember 1933. Hull berkata: "Tiada negara yang berhak untuk campur tangan dalam hal-ehwal dalam mahupun luar negara lain".[5] Kemudian, Roosevelt mengesahkan dasar pada Disember 1933 juga: "Dasar yang pasti diambil oleh Amerika Syarikat mulai sekarang adalah berlawanan dengan campur tangan bersenjata."[6]

AS ingin menjalin hubungan baik dengan negara-negara jirannya, terutamanya di tengah zaman tercetusnya semula persengketaan, maka dasar ini lebih kurang bertujuan untuk mengukuhkan sokongan Amerika Latin. Dasar Jiran Baik ini memaksudkan bahawa AS memerhatikan Amerika Latin dengan hati yang lebih aman damai. Dengan mengelakkan campur tangan tentera, AS beralih ke cara-cara lain untuk mengekalkan pengaruhnya di Amerika Latin, misalnya: Pan-Amerikanisme, sokongan daripada pemimpin tempatan yang kuat, melatih bala pengawal negara, penembusan ekonomi dan kebudayaan, pinjaman Export-Import Bank, bimbingan kewangan, dan subversi politik.

Kesan

Dasar Jiran Baik menyaksikan Tentera Marin AS berundur dari Haiti dan Nicaragua pada 1934, Pindaan Platt dibatalkan, dan rundingan pampasan untuk tindakan Mexico memiliknegarakan aset luar negara dalam industri petroleum pada tahun 1938. Kesan dasar ini pada budayanya pula termasuk rancangan radio Viva America dan filem Saludos Amigos oleh Disney pada tahun 1942. Menjelang akhir Perang Dunia II, Amerika Latin merupakan rantau yang paling kuat menyokong dasar luar AS, menurut seorang ahli sejarah.[7]

Pusaka

Zaman Dasar Jiran Baik berakhir dengan ancaman Perang Dingin pada tahun 1945, yang memaksa dasar berubah kerana rakyat AS berasa semakin perlu untuk melindungi hemisfera barat daripada ancaman Soviet. Oleh itu, perubahan-perubahan ini bercanggah dengan prinsip asas Dasar Jiran Baik yang menegah campur tangan, sehingga menimbulkan satu gelombang baru campur tangan AS dalam hal-ehwal Amrika Latin.[2] Sehingga akhir Perang Dingin, AS secara langsung atau tidak langsungnya menyerang semua pergerakan sosialis dengan harapan agar membasmi peluasan Soviet komunis. Campur tangan AS pada ketika ini termasuklah menyerobot kuasa rejim sosialis di Chile dan kerajaan Sandinista yang radikal di Nicaragua.[2]

Selepas Perang Dunia Kedua, AS mulai mengalihkan tumpuannya kepada usaha membantu dan membina semula Eropah dan Jepun. Usaha-usaha ini banyak mengabaikan negara-negara Amerika Latin, namun para pelabur dan peniaga AS masih menyimpan kepentingan di benua Selatan.